Jumaat, 7 September 2012

Pengenalan Ilmu Al-Jarh wa Ta'dil

ILMU AL-JARH WAT TA’DIL

   Mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. merupakan kewajipan agama ke atas setiap orang  dan salah satu tuntutan dua kalimah syahadah. Sunnah Rasulullah s.a.w. tidak mungkin dapat diketahui tanpa melalui perawi-perawi yang meriwayatkannya. Rangkaian dan rantaian perawi tersebut sehingga sampai kepada Rasulullah s.a.w. dinamakan sebagai sanad ataupun isnad. Perawi-perawi yang membawa riwayat tidak akan diterima periwayatan mereka melainkan setelah ditimbang dan diuji sifat dan keadaan mereka dengan satu neraca yang adil yang dinamakan sebagai ilmu al-Jarh wat Ta’dil. Ilmu ini merupakan teras kepada kepercayaan umat terhadap sumber pegangan dan amalan di mana setiap maklumat telah dinuqilkan oleh mereka yang adil, benar dan amanah dan ditapis dengan disiplin sistem sanad. Ulama hadis tidak hanya berhenti setakat meriwayatkan hadis dengan sanad tanpa mengenali nilai dan statusnya. Malah mereka telah mencurahkan segala usaha untuk mengenali perawi-perawi dengan sifat-sifat mereka. Siapa mereka yang boleh diterima riwayat, daripada siapa yang meriwayatkan, berapa banyak hadisnya, bagaimana usul atau catatannya, bila boleh diterima riwayatnya bila tidak? Persoalan-persoalan inilah melahirkan ilmu neraca perawi (al-Jarh wat Ta’dil).

   Al-Jarh (الجرّح) secara bahasa merupakan isim mashdar yang bererti luka yang mengalirkan darah atau sesuatu yang dapat menggugurkan keadilan seseorang. (Lisaanul ‘Arab, Kosa Kata: ‘جرح)

   Al-Jarh (الجرّح)  menurut istilah ialah terlihat sifat pada seorang perawi yang dapat menjatuhkan keadilannya dan merosak hafalan dan ingatannya sehingga menyebabkan gugur riwayatnya atau melemahkannya hingga kemudian ditolak.

   Al-Tajrih  (التجريح)iaitu memberikan sifat kepada seorang perawi dengan sifat yang menyebabkan pendha’ifan riwayatnya, atau tidak diterima riwayatnya.
  
   Al-‘Adlu(العدل) secara bahasa ialah apa yang lurus dalam jiwa lawan bagi duka. Seorang yang ‘adil ialah kesaksiannya diterima dan at-Ta’dil ertinya mensucikan atau membersihkan.
   
   Al-‘Adlu(العدل) menurut istilah adalah orang yang tidak nampak padanya apa yang merosak agamanya dan perangainya maka oleh sebab itu, diterima beritanya dan persaksiannya apabila memenuhi syarat menyampaikan hadis (Islam, baligh, berakal dan kuat hafalan).
   
   Al-Ta’dil(التعديل) bermaksud pensifatan perawi dengan sifat-sifat yang mensucikannya sehingga nampak keadilannya dan diterima beritanya.
   
   Atas dasar ini, maka ilmu al-Jarh wat Ta’dil adalah ilmu yang menerangkan tentang kecacatan yang dihadapkan kepada para perawi dan tentang penta’dilannya (memandang lurus perangai para perawi) dengan memakai kata-kata yang khusus dan untuk menerima atau menolak riwayat mereka. (Ushul al-Hadis hal. 260 dan Muqaddimah kitab al-Jarh wat Ta’dil 3/1)
  
    Kepentingan ilmu al-Jarh wat Ta’dil adalah untuk memastikan keadilan seseorang perawi dalam menyampaikan riwayat yang dibawa. Untuk mengetahui keadilan seseorang perawi adalah berdasarkan penjelasan daripada ulama al-Jarh wat Ta’dil dan juga sudah memadai apabila seseorang perawi itu masyhur atau terkenal dengan keadilannya tanpa perlu penjelasan daripada ulama al-Jarh wat Ta’dil seperti imam empat mazhab: Abu Hanifah, as-Syafi’i, Malik bin Anas, Ahmad bin Hanbal serta Sufyan bin ‘Uyainah, Sufyan at-Thauri, al-Auza’i dan selainnya.
   
    Para ulama tidak menganggap ilmu al-Jarh wat Ta’dil sebagai ghibah kerana ia bukanlah perkara yang terlarang dan para ulama menggalakkan untuk melakukan jarh dan ta’dil berdasarkan hadis berikut:


=Sabda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam kepada seorang lelaki: “(Dan) itu seburuk-buruk saudara di tengah-tengah keluarganya”. (HR Bukhari)


=Sabda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam kepada Fatimah binti Qais yang menanyakan tentang Mu’awiyyah bin Abi Sufyan dan Abu Jahm yang tengah melamarnya: “Adapun Abu Jahm tidak pernah meletakkan tongkatnya daripada pundaknya (suka memukul), sedangkan Mu’awiyyah seorang yang miskin tidak mempunyai harta”. (HR Muslim)

Dua hadis di atas merupakan dalil al-Jarh iaitu menerangkan tentang maslahat dan nasihat. Adapun al-Ta’dil berdasarkan hadis berikut:

=Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam bersabda: “Sebaik-baik hamba Allah adalah Khalid bin al-Walid, salah satu pedang di antara pedang-pedang Allah”. (HR. Muslim)

    Oleh kerana itu, ilmu al-Jarh wa at-Ta’dil sangat penting kerana untuk menjaga syariat atau agama ini, ia bukanlah untuk mencari kesalahan atau mencela seseorang.  Bahkan dalam persaksian pun kita boleh jarh seseorang, maka para perawi juga boleh dalam memastikan riwayat itu benar kerana mencari kebenaran dalam masalah agama adalah penting berbanding masalah hak dan harta.


    Mari kita mengambil qudwah bagaimana seorang ulama hadis iaitu Abdullah Ibnu Mubarak dalam menjaga syari’at ini dengan bersungguh-sunggguh:


Muhammad mendengar daripada Abu Ishaq, dia (Abu Ishaq) berkata kepada Abdullah Ibnu Mubarak, seorang ‘alim besar dalam bidang hadis. Katanya: Wahai Aba Abd ar-Rahman (Ibnu Mubarak). Sesungguhnya hadis: “Sesugguhnya antara kebatilan itu kamu solat untuk ibubapamu bersama dengan solatmu”. Kata Ibnu Mubarak: Dari mana kamu dapat hadis ini? Dia kata daripada Syihab bin Kharrasy. Tsiqah kata Ibnu Mubarak, kemudian dia berkata daripada siapa Syihab ambil? Kata Abu Ishaq, Hajjaj bin Dinar, tsiqah,  kata Ibnu Mubarak daripada siapa (Hajjaj) ambil hadis? Daripada Rasulullah. Kata Ibnu Mubarak: “ Ya Aba Ishaq, sesungguhnya antara Hajjaj dan Rasulullah salallahu’alaihi wasallam ada padang pasir”.


Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam bersabda: “Akan datang di akhir zaman nanti, para dajjal lagi pendusta, mereka mendatangkan kepada kamu daripada hadis-hadis yang kamu dan ibubapa kamu tidak pernah dengar, hati-hatilah kamu dengan mereka, jangan sampai mereka menyesatkan kamu dan menyebabkan kamu terfitnah”. (HR. Muslim)

    Itulah pentingnya sanad hadis kerana daripada sanad ulama dapat mengetahui para perawi yang tsiqah dan tidak tsiqah. dhabit dan tidak dhabit dan sebagainya. Ibnu Mubarak juga pernah berkata: “Isnad (sanad) menurutku adalah agama. Kalaulah tanpa sanad, sesiapa sahaja akan bercakap apa sahaja (dalam urusan agama). Jika ditanya kepadanya "siapa yang menyampaikan kepadamu (meriwayatkan hadis-hadis dan ilmu agama)", nescaya dia kebingungan (kebingungan kerana tidak pernah mempunyai sanad)". Wallahu’alam.

Semoga dengan takrifan serta sedikit penerangan tentang ilmu al-Jarh wa at-Ta’dil ini, kita sebagai hamba-Nya dapat mengambil manfaat serta mendapat ilmu yang baru bagi sesiapa yang masih tidak mengetahui akannya.

1 ulasan:

  1. The Best Games, Casino and More - JtmHub
    JT Rewards 하남 출장안마 Casino | 여주 출장안마 ⭐ Free to Play · JTG 아산 출장안마 Rewards Casino Online | 대전광역 출장안마 Play with Bitcoin, Ethereum & more! · Play Free Online Slots · JTG Rewards Online | Play 군산 출장마사지

    BalasPadam