Jumaat, 7 September 2012

Pengenalan Takhrij Al-Hadis


Hadis bukanlah satu perkara yang kita boleh bersenang-lenang dalam menyampaikannya. Ini kerana prinsip ilmu hadis amat berbeza jika dibandingkan dengan prinsip ilmu-ilmu lain seperti ilmu sejarah contohnya. Prinsip ilmu hadis terkenal dengan ketegasan dan pengkajian serta penelitian yang sangat terperinci apabila menyampaikan sesebuah hadis. Hinggakan para ulama hadis telah mengasingkan beberapa cabang ilmu ketika mengkaji sesuatu hadis. Dan salah satunya adalah ilmu Takhrij al-Hadis.

Definisi Takhrij al-Hadis ( تخريج الحديث )

Takhrij menurut bahasa mempunyai beberapa makna. Yang paling mendekati di sini adalah berasal dari kata kharaja ( خَرَجَ ) yang ertinya nampak dari tempatnya, atau keadaannya, dan terpisah, dan kelihatan.

Demikian juga kata al-ikhraj ( اْلِإخْرَج ) yang ertinya menampakkan dan memperlihatkannya. Dan al-makhraj ( المَخْرَج ) ertinya tempat keluar.

Dan akhrajal-hadits wa kharrajahu ertinya menampakkan dan memperlihatkan hadis kepada orang dengan menjelaskan tempat keluarnya.

Istilah - Takhrij menurut istilah adalah menunjukkan tempat hadis pada sumber aslinya yang mengeluarkan hadis tersebut dengan sanadnya dan menjelaskan darjatnya ketika diperlukan.

Ancaman dan peringatan daripada baginda SAW

Mempelajari ilmu-ilmu yang berkait dengan prinsip hadis adalah amat penting bagi mereka yang ingin menyampaikan sesebuah hadis baginda Rasulullah SAW.

Ini kerana baginda SAW telah memberi ancaman dalam sebuah hadis:

"إن كذبا علي ليس ككذب على أحد من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار [1]"

Maksudnya: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Barangsiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka.”

Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani ketika mengulas hadis ini, berkata “Ianya merangkumi setiap pendustaan ke atas baginda nabi SAW dan semua jenis pendustaan ke atas baginda SAW.

Kita perlu lebih berhati-hati ketika meriwayatkan hadis. Kerana baginda SAW juga ada menyebut,

"يكون في اخر الزمان دجالون كذبون يأتونكم من الأحاديث بما لم تسمعوا أنتم ولا اباؤكم فإياكم و إياهم لا يضلونكم ولا يفتنونكم [2]"

Maksudnya: “Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Hendaklah kamu berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kau dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar).”

Terdapat banyak lagi ancaman dan peringatan supaya kita tidak bermudah dan sentiasa berhati-hati ketika meriwayatkan hadis Rasulullah SAW. Ilmu Takhrij al-Hadis berperanan sebagai salah satu ilmu yang memastikan setiap hadis yang diriwayat bertepatan dengan prinsip-prinsip yang ditetapkan oleh ulama hadis.

Peranan & faedah ilmu Takhrij al-Hadis

Di antara peranan dan faedah ilmu Takhrij al-Hadis ini adalah:

1) Mengetahui sumber setiap hadis yang diriwayatkan.

2) Mengetahui hal keadaan sanad sesebuah hadis menerusi penelitian ‘turuq’ hadis tersebut.

3) Menaikkan darjat sesuatu hadis seperti hadis dha’if kepada hasan kerana melalui ilmu Takhrij al-Hadis kita boleh mengetahui syawahid yang menguatkan hadis tersebut.

4) Mengetahui hal keadaan sesuatu hadis itu dengan membandingkan kepelbagaian jalan (turuq) pengriwayatannya. Sebagai contoh kemungkinan salah satu turuq hadis adalah dhaif, tetapi ada turuq yang lain bertaraf shahih.

5) Mengetahui darjat sesuatu hadis sama ada shahih atau sebaliknya berdasarkan pandangan para ulama hadis.

6) Menghapuskan kesangsian terhadap “an’anah ( عنعنة )” yang dilakukan oleh mudallis dengan membandingkan antara turuq pengriwayatan hadis yang dikaji.

Dan banyak lagi peranan serta faedah yang boleh kita perolehi daripada salah satu cabang ilmu hadis yang mengkagumkan ini. Kesimpulannya Takhrij al-Hadis adalah satu ilmu yang mengeluarkan turuq (jalan-jalan pengriwayatan) sebuah hadis untuk dilakukan penelitian dan pengkajian yang terperinci terhadapnya.

Insya Allah, akan datang akan diterangkan mengenai method-method Takhrij al-Hadis dan kitab-kitab yang masyhur dalam bidang Takhrij.

Rujukan :

[1] Hadis shahih. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari & Imam Muslim.
[2] Hadis shahih riwayat Imam Muslim.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan