Rabu, 31 Oktober 2012

Al-Quran dan Kita


Al-Quran merupakan mukjizat teragung yang diturunkan oleh Allah subhanahu wata`ala kepada Nabi Muhammad shallallahu `alaihi wasallam dan masih kekal isi kandungannya sehingga kini walaupun telah berlalu penurunannya lebih daripada 1400 tahun yang lampau. Adapun kitab-kitab samawi yang diturunkan kepada nabi-nabi terdahulu  seperti kitab Zabur, Injil dan sebagainya hanya kekal pada nama tetapi tidak pada isinya.

Firman Allah subhanahu wata`ala:

“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya”. (Surah al-Hijr: 9)

Penggalian ilmu dan khazanah al-Quran oleh para cendekiawan Islam tidak akan pernah selesai selagimana dunia ini belum kiamat. Ilmu al-Quran merupakan asas bagi setiap muslim kerana terbinanya syariat adalah melalui al-Quran dan memdalaminya adalah salah satu cara bagi hamba untuk mendekatkan diri dengan Rabbnya.

Kata Saidina Uthman bin Affan radhiyallahu `anhu:

“Sekiranya hatimu itu suci, nescaya tidak akan kenyang (puas) ia dari firman Rabbmu”.

Diantara ilmu lain yang telah digali dan dikaji oleh para ulama mutaqaddimin dan mutakkhirin melalui al-Quran ialah ilmu tajwid, asbabun nuzul, al-nasikh wa al-mansukh, al-muhkam wa al-mutasyabih, qiraat, tafsir dan sebagainya.

ilmu tafsir kerana dia perlu tahu di mana tempat yang sesuai untuk waqaf (berhenti). Ilmu ini disebut sebagai ma`rifah al-Hurf. Seseorang yang mendalami ilmu tafsir pula tidak boleh  mengabaikan ilmu tajwid kerana perubahan baris ataupun sebutan huruf membawa perubahan yang besar kepada makna ayat al-Quran. Sesuatu yang berbahaya juga apabila sesuatu ayat al-Quran itu difahami ataupun ditafsir luar daripada konteks ayat serta tidak mengikut apa yang dikehendaki oleh Allah subhanahu wata`ala .

Sebagai penuntut ilmu agama, kita hendaklah sekurang-kurangnya memiliki kemampuan membaca al-Quran dengan baik kerana kredibiliti kita di mata masyarakat dinilai melalui kefasihan membaca al-Quran.

Rujukan:

[1] al-Quran al-Karim
[2] `Abqu al-Raihan fi `Ulum al-Quran
[3] Kertas Kerja K-Fiqh 2012

Sabtu, 27 Oktober 2012

KITAB-KITAB YANG BERKAITAN DENGAN AL-JARH WA AT-TA’DIL.


   Dalam artikel sebelum ini, kami telah menerangkan serba sedikit tentang ilmu al-Jarh wa at-Ta’dil (الجرح والتعديل). Setelah kita memahami definisi al-Jarh dan at-Ta’dil, kita juga perlu mengetahui berkaitan dengan kitab-kitab yang membahaskan tentang ilmu al-Jarh wa at-Ta’dil ini.
  
   Para penyusun mempunyai metode yang berlainan dalam penulisan kitab al—Jarh wa at-Ta’dil antaranya ada yang menjelaskan tentang perawi-perawi yang thiqah sahaja seperti Kitab at-Thiqah karangan Ibn  Hibban dan ada juga yang khusus tentang perawi dhaif sahaja serta ada juga sebahagian yang menggabungkan kedua-duanya thiqah dan dhaif. Terdapat juga sebahagian besar para pengarang kitab menulis menguruti nama-nama perawi mengikut dengan huruf kamus mu’jam.
  
   Erti kata lain, sebahagian kitab ini meliputi semua perawi hadis tanpa melihat kepada perawi-perawi kitab hadis tertentu dan ada yang khusus dengan perawi-perawi dengan sebuah kitab sahaja atau beberapa buah kitab hadis yang tertentu seperti rijal al-Bukhari, rijal Muslim, rijal at-Tirmidzi dan sebagainya. Kitab seperti Ta’jil al-Manfa’ah bi Zawa’id Rijal al-A’immah al-Arba’ah oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengkhususkan kepada perawi-perawi imam yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik bin Anas, Imam asy-Syafi'i dan Imam Ahmad bin Hanbal.
  
   Secara ringkasnya, kitab-kitab al-Jarh wa at-Ta’dil boleh diklasifikasikan sebagaimana berikut:

Kitab-kitab besar:

*Tahzib al-Kamal oleh al-Mizzi
*Tahzib at-Tahzib oleh al-Hafiz Ibn Hajar
*Tazhib Tahzib al-Kamal oleh az-Zahabi
*Mizan al-I’tidal Fi Naqd ar-Rijal oleh az-Zahabi

Kitab-kitab ushul:

*Al-Jarh wa at-Ta’dil oleh Ibn Abi Hatim
*Ad-Dhu’afa al-Kabir oleh al-‘Uqaili
*Al-Majruhin oleh Ibn Hibban
*Al-Kamil Fi ad-Dhu’afa oleh Ibn ‘Adi
*Al-Kamal Fi Asma Syuyukh ar-Rijal oleh Hafiz ‘Abd Ghani al-Maqdisi

Kitab-Kitab ushul kepada ushul:

*Tarikh ad-Duri ‘An Yahya bin Ma’in
*Tarikh ad-Darimi ‘An Yahya bin Ma’in
*Su’alat al-Aajiri Li Abi Daud
*Su’alat Ibn Abi Syaibah Li ‘Ali bin al-Madini
*Su’alat Ibn Bukar Li ad-Daruquthni
*Su’alat Ibn al-Junaid Li Yahya bin Ma’in
*Su’alat Abi Daud Li al-Imam Ahmad
*At-Tarikh al-Kabir oleh Imam al-Bukhari

Kitab-kitab ringkasan:

*Al-Kasyif Fi al-Ma’rifah Man Lahu Riwayah Fi al-Kutub as-Sittah oleh az-Zahabi
*Khulasah Tazhib Tahzib al-Kamal oleh al-Khazraji
*Taqrib at-Tahzib oleh al-Hafiz Ibn Hajar

   Ini hanyalah serba ringkas yang dapat ditulis berkenaan kitab-kitab al-Jarh wa at-Ta’dil. Terdapat banyak lagi kitab-kitab yang membahaskan tentang ilmu ini yang tidak disertakan dalam artikel ini. Mungkin para pembaca boleh mencari sendiri serta mengkaji berkaitan ilmu ini. Walaupun ilmu ini dianggap susah akan tetapi ia adalah satu ilmu yang istimewa dalam kita untuk mengetahui perawi-perawi dalam setiap sanad hadis seperti namanya, tempat lahirnya, gelarannya dan sebagainya. Semoga para pembaca dapat mengambil manfaat daripada penulisan ini. Wallahu’alam.

Rujukan:

1.http://www.darulkautsar.net/article.php?page=4&ArticleID=26
2.http://jacksite.wordpress.com/2007/07/04/ilmu-hadits-al-jarh-wat-ta%E2%80%99dil/


Jumaat, 7 September 2012

Pengenalan Ilmu Al-Jarh wa Ta'dil

ILMU AL-JARH WAT TA’DIL

   Mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. merupakan kewajipan agama ke atas setiap orang  dan salah satu tuntutan dua kalimah syahadah. Sunnah Rasulullah s.a.w. tidak mungkin dapat diketahui tanpa melalui perawi-perawi yang meriwayatkannya. Rangkaian dan rantaian perawi tersebut sehingga sampai kepada Rasulullah s.a.w. dinamakan sebagai sanad ataupun isnad. Perawi-perawi yang membawa riwayat tidak akan diterima periwayatan mereka melainkan setelah ditimbang dan diuji sifat dan keadaan mereka dengan satu neraca yang adil yang dinamakan sebagai ilmu al-Jarh wat Ta’dil. Ilmu ini merupakan teras kepada kepercayaan umat terhadap sumber pegangan dan amalan di mana setiap maklumat telah dinuqilkan oleh mereka yang adil, benar dan amanah dan ditapis dengan disiplin sistem sanad. Ulama hadis tidak hanya berhenti setakat meriwayatkan hadis dengan sanad tanpa mengenali nilai dan statusnya. Malah mereka telah mencurahkan segala usaha untuk mengenali perawi-perawi dengan sifat-sifat mereka. Siapa mereka yang boleh diterima riwayat, daripada siapa yang meriwayatkan, berapa banyak hadisnya, bagaimana usul atau catatannya, bila boleh diterima riwayatnya bila tidak? Persoalan-persoalan inilah melahirkan ilmu neraca perawi (al-Jarh wat Ta’dil).

   Al-Jarh (الجرّح) secara bahasa merupakan isim mashdar yang bererti luka yang mengalirkan darah atau sesuatu yang dapat menggugurkan keadilan seseorang. (Lisaanul ‘Arab, Kosa Kata: ‘جرح)

   Al-Jarh (الجرّح)  menurut istilah ialah terlihat sifat pada seorang perawi yang dapat menjatuhkan keadilannya dan merosak hafalan dan ingatannya sehingga menyebabkan gugur riwayatnya atau melemahkannya hingga kemudian ditolak.

   Al-Tajrih  (التجريح)iaitu memberikan sifat kepada seorang perawi dengan sifat yang menyebabkan pendha’ifan riwayatnya, atau tidak diterima riwayatnya.
  
   Al-‘Adlu(العدل) secara bahasa ialah apa yang lurus dalam jiwa lawan bagi duka. Seorang yang ‘adil ialah kesaksiannya diterima dan at-Ta’dil ertinya mensucikan atau membersihkan.
   
   Al-‘Adlu(العدل) menurut istilah adalah orang yang tidak nampak padanya apa yang merosak agamanya dan perangainya maka oleh sebab itu, diterima beritanya dan persaksiannya apabila memenuhi syarat menyampaikan hadis (Islam, baligh, berakal dan kuat hafalan).
   
   Al-Ta’dil(التعديل) bermaksud pensifatan perawi dengan sifat-sifat yang mensucikannya sehingga nampak keadilannya dan diterima beritanya.
   
   Atas dasar ini, maka ilmu al-Jarh wat Ta’dil adalah ilmu yang menerangkan tentang kecacatan yang dihadapkan kepada para perawi dan tentang penta’dilannya (memandang lurus perangai para perawi) dengan memakai kata-kata yang khusus dan untuk menerima atau menolak riwayat mereka. (Ushul al-Hadis hal. 260 dan Muqaddimah kitab al-Jarh wat Ta’dil 3/1)
  
    Kepentingan ilmu al-Jarh wat Ta’dil adalah untuk memastikan keadilan seseorang perawi dalam menyampaikan riwayat yang dibawa. Untuk mengetahui keadilan seseorang perawi adalah berdasarkan penjelasan daripada ulama al-Jarh wat Ta’dil dan juga sudah memadai apabila seseorang perawi itu masyhur atau terkenal dengan keadilannya tanpa perlu penjelasan daripada ulama al-Jarh wat Ta’dil seperti imam empat mazhab: Abu Hanifah, as-Syafi’i, Malik bin Anas, Ahmad bin Hanbal serta Sufyan bin ‘Uyainah, Sufyan at-Thauri, al-Auza’i dan selainnya.
   
    Para ulama tidak menganggap ilmu al-Jarh wat Ta’dil sebagai ghibah kerana ia bukanlah perkara yang terlarang dan para ulama menggalakkan untuk melakukan jarh dan ta’dil berdasarkan hadis berikut:


=Sabda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam kepada seorang lelaki: “(Dan) itu seburuk-buruk saudara di tengah-tengah keluarganya”. (HR Bukhari)


=Sabda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam kepada Fatimah binti Qais yang menanyakan tentang Mu’awiyyah bin Abi Sufyan dan Abu Jahm yang tengah melamarnya: “Adapun Abu Jahm tidak pernah meletakkan tongkatnya daripada pundaknya (suka memukul), sedangkan Mu’awiyyah seorang yang miskin tidak mempunyai harta”. (HR Muslim)

Dua hadis di atas merupakan dalil al-Jarh iaitu menerangkan tentang maslahat dan nasihat. Adapun al-Ta’dil berdasarkan hadis berikut:

=Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam bersabda: “Sebaik-baik hamba Allah adalah Khalid bin al-Walid, salah satu pedang di antara pedang-pedang Allah”. (HR. Muslim)

    Oleh kerana itu, ilmu al-Jarh wa at-Ta’dil sangat penting kerana untuk menjaga syariat atau agama ini, ia bukanlah untuk mencari kesalahan atau mencela seseorang.  Bahkan dalam persaksian pun kita boleh jarh seseorang, maka para perawi juga boleh dalam memastikan riwayat itu benar kerana mencari kebenaran dalam masalah agama adalah penting berbanding masalah hak dan harta.


    Mari kita mengambil qudwah bagaimana seorang ulama hadis iaitu Abdullah Ibnu Mubarak dalam menjaga syari’at ini dengan bersungguh-sunggguh:


Muhammad mendengar daripada Abu Ishaq, dia (Abu Ishaq) berkata kepada Abdullah Ibnu Mubarak, seorang ‘alim besar dalam bidang hadis. Katanya: Wahai Aba Abd ar-Rahman (Ibnu Mubarak). Sesungguhnya hadis: “Sesugguhnya antara kebatilan itu kamu solat untuk ibubapamu bersama dengan solatmu”. Kata Ibnu Mubarak: Dari mana kamu dapat hadis ini? Dia kata daripada Syihab bin Kharrasy. Tsiqah kata Ibnu Mubarak, kemudian dia berkata daripada siapa Syihab ambil? Kata Abu Ishaq, Hajjaj bin Dinar, tsiqah,  kata Ibnu Mubarak daripada siapa (Hajjaj) ambil hadis? Daripada Rasulullah. Kata Ibnu Mubarak: “ Ya Aba Ishaq, sesungguhnya antara Hajjaj dan Rasulullah salallahu’alaihi wasallam ada padang pasir”.


Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam bersabda: “Akan datang di akhir zaman nanti, para dajjal lagi pendusta, mereka mendatangkan kepada kamu daripada hadis-hadis yang kamu dan ibubapa kamu tidak pernah dengar, hati-hatilah kamu dengan mereka, jangan sampai mereka menyesatkan kamu dan menyebabkan kamu terfitnah”. (HR. Muslim)

    Itulah pentingnya sanad hadis kerana daripada sanad ulama dapat mengetahui para perawi yang tsiqah dan tidak tsiqah. dhabit dan tidak dhabit dan sebagainya. Ibnu Mubarak juga pernah berkata: “Isnad (sanad) menurutku adalah agama. Kalaulah tanpa sanad, sesiapa sahaja akan bercakap apa sahaja (dalam urusan agama). Jika ditanya kepadanya "siapa yang menyampaikan kepadamu (meriwayatkan hadis-hadis dan ilmu agama)", nescaya dia kebingungan (kebingungan kerana tidak pernah mempunyai sanad)". Wallahu’alam.

Semoga dengan takrifan serta sedikit penerangan tentang ilmu al-Jarh wa at-Ta’dil ini, kita sebagai hamba-Nya dapat mengambil manfaat serta mendapat ilmu yang baru bagi sesiapa yang masih tidak mengetahui akannya.

Pengenalan Takhrij Al-Hadis


Hadis bukanlah satu perkara yang kita boleh bersenang-lenang dalam menyampaikannya. Ini kerana prinsip ilmu hadis amat berbeza jika dibandingkan dengan prinsip ilmu-ilmu lain seperti ilmu sejarah contohnya. Prinsip ilmu hadis terkenal dengan ketegasan dan pengkajian serta penelitian yang sangat terperinci apabila menyampaikan sesebuah hadis. Hinggakan para ulama hadis telah mengasingkan beberapa cabang ilmu ketika mengkaji sesuatu hadis. Dan salah satunya adalah ilmu Takhrij al-Hadis.

Definisi Takhrij al-Hadis ( تخريج الحديث )

Takhrij menurut bahasa mempunyai beberapa makna. Yang paling mendekati di sini adalah berasal dari kata kharaja ( خَرَجَ ) yang ertinya nampak dari tempatnya, atau keadaannya, dan terpisah, dan kelihatan.

Demikian juga kata al-ikhraj ( اْلِإخْرَج ) yang ertinya menampakkan dan memperlihatkannya. Dan al-makhraj ( المَخْرَج ) ertinya tempat keluar.

Dan akhrajal-hadits wa kharrajahu ertinya menampakkan dan memperlihatkan hadis kepada orang dengan menjelaskan tempat keluarnya.

Istilah - Takhrij menurut istilah adalah menunjukkan tempat hadis pada sumber aslinya yang mengeluarkan hadis tersebut dengan sanadnya dan menjelaskan darjatnya ketika diperlukan.

Ancaman dan peringatan daripada baginda SAW

Mempelajari ilmu-ilmu yang berkait dengan prinsip hadis adalah amat penting bagi mereka yang ingin menyampaikan sesebuah hadis baginda Rasulullah SAW.

Ini kerana baginda SAW telah memberi ancaman dalam sebuah hadis:

"إن كذبا علي ليس ككذب على أحد من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار [1]"

Maksudnya: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Barangsiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka.”

Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani ketika mengulas hadis ini, berkata “Ianya merangkumi setiap pendustaan ke atas baginda nabi SAW dan semua jenis pendustaan ke atas baginda SAW.

Kita perlu lebih berhati-hati ketika meriwayatkan hadis. Kerana baginda SAW juga ada menyebut,

"يكون في اخر الزمان دجالون كذبون يأتونكم من الأحاديث بما لم تسمعوا أنتم ولا اباؤكم فإياكم و إياهم لا يضلونكم ولا يفتنونكم [2]"

Maksudnya: “Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Hendaklah kamu berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kau dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar).”

Terdapat banyak lagi ancaman dan peringatan supaya kita tidak bermudah dan sentiasa berhati-hati ketika meriwayatkan hadis Rasulullah SAW. Ilmu Takhrij al-Hadis berperanan sebagai salah satu ilmu yang memastikan setiap hadis yang diriwayat bertepatan dengan prinsip-prinsip yang ditetapkan oleh ulama hadis.

Peranan & faedah ilmu Takhrij al-Hadis

Di antara peranan dan faedah ilmu Takhrij al-Hadis ini adalah:

1) Mengetahui sumber setiap hadis yang diriwayatkan.

2) Mengetahui hal keadaan sanad sesebuah hadis menerusi penelitian ‘turuq’ hadis tersebut.

3) Menaikkan darjat sesuatu hadis seperti hadis dha’if kepada hasan kerana melalui ilmu Takhrij al-Hadis kita boleh mengetahui syawahid yang menguatkan hadis tersebut.

4) Mengetahui hal keadaan sesuatu hadis itu dengan membandingkan kepelbagaian jalan (turuq) pengriwayatannya. Sebagai contoh kemungkinan salah satu turuq hadis adalah dhaif, tetapi ada turuq yang lain bertaraf shahih.

5) Mengetahui darjat sesuatu hadis sama ada shahih atau sebaliknya berdasarkan pandangan para ulama hadis.

6) Menghapuskan kesangsian terhadap “an’anah ( عنعنة )” yang dilakukan oleh mudallis dengan membandingkan antara turuq pengriwayatan hadis yang dikaji.

Dan banyak lagi peranan serta faedah yang boleh kita perolehi daripada salah satu cabang ilmu hadis yang mengkagumkan ini. Kesimpulannya Takhrij al-Hadis adalah satu ilmu yang mengeluarkan turuq (jalan-jalan pengriwayatan) sebuah hadis untuk dilakukan penelitian dan pengkajian yang terperinci terhadapnya.

Insya Allah, akan datang akan diterangkan mengenai method-method Takhrij al-Hadis dan kitab-kitab yang masyhur dalam bidang Takhrij.

Rujukan :

[1] Hadis shahih. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari & Imam Muslim.
[2] Hadis shahih riwayat Imam Muslim.